Wednesday, April 13, 2011

Larangan Meminta Jawatan Kepimpinan

Oleh
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

عن أبي موسى رَضِيَ اللهُ عنه : دَخَلْتُ عَلى النَّبي r أناَ وَرُجُلانِ مِنْ قَوْمي فَقَالَ أحَدُ الرُّجُلَيْنِ أمِّرنَا يا رَسُوْلَ اللهِ وَقَالَ الآخَرُ مِثْلَهُ، فقاَلَ : إنَّا لا نُوَلِّي هَذَا مَنْ سَأَلَهُ وَلا مَنْ حَرَصَ عَلَيْهِ

Maksud: Daripada Abu Musa r.a. (Allah telah meredhainya) katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.a.w.. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya" *1

Hadith menjelaskan satu kaedah yamg penting dalam perlantikan jawatan kepimpinan atau kuasa iaitu tidak boleh diberikan kuasa atau jawatan kepada yang memintanya atau tamakkannya. Ini kerana jawatan di dalam Islam adalah amanah dan ianya diterima dengan tanggungjawab dan perasan takutkan Allah sedang mereka yang memintanya atau tamkkannya adalah tanda golongan yang merasai besarnya tanggungjawab di hadapan Allah. Maka menjadi tanggungjawab ke atas sesiapa yang mempunyai kuasa menentu dan memilih untuk tidak memilih mereka yang tamakkan kuasa.

Al-Qadhi al-Baidawi (meninggal 537H) البيضاوي dalam mensyarahkan persoalan meminta jawatan kepimpinan: "Tidak sepatutnya bagi yang berakal bergembira dengan suatu kelazatan yang akan diikuti dengan dengan penyesalan". Berkata al-Muhallab (meninggal 435H) المهلب pula : Keinginan untuk memperolehi kuasa adalah sebab berlaku peperangan di kalangan manusia kerananya sehingga ditumpahkan darah, dicemari harta dan maruah. *2


Justeru itu, Islam menghalang jawatan daripada jatuh ke tangan mereka yang tamakkannya dengan membuat kaedah sesiapa yang meminta maka dia tidak dilantik. Ini dapat menyelamatkan dua perkara bahaya:

i. Amanah kepimpinan jatuh ke tangan mereka yang tidak takutkan Allah dan tidak memahami bahawa kepimpinan akan dipersoalkan di akhirat.

ii. Berlakunya perebutan kuasa di kalangan ummat yang akhirnya membawa kehancuran.

Persoalan kepimpinan di dalam Islam bukan sahaja melibatkan perkara kepakaran tetapi juga membabit persoalan keberkatan dan pertolongan Allah yang bakal turun kepada kepimpinan yang beriman dan bertaqwa. Oleh itu dalam hadith yang lain, yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim baginda Nabi s.a.w. menasihati sahabatnya `Abd ar-Rahman bin Samurah (سَمُرة)

ياَ عَبْدَ الرحمن لا تَسْأَلْ اْلإِمَارَةَ فَإنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَهاَ عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا وَإِنْ أُعْطِيْتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا

Maksudnya:
"Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan pemintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa pemintaan maka engkau dibantu" *3

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari: "Maksud hadith di atas ialah sesiapa yang meminta jawatan pemimpin lalu diberikan kepadanya maka dia tidak diberikan bantuan disebabkan keinginannya...".katanya lagi: "Sesiapa yang tidak mendapat bantuan daripada Allah terhadap pekerjaannya maka dia tidak akan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan tersebut. Oleh itu maka tidak sepatutnya diterima pemintaannya (untuk menjadi pemimpin)." *4

Dalam kata lain, sesiapa yang meminta jawatan, maka Allah tidak akan menolongnya jika dia memerintah. Sesiapa yang tidak ditolong Allah tentu dia gagal melaksanakan amanah seperti yang dikehendaki Allah, sama ada yang kecil ataupun yang besar dan dalam apa urusan sekalipun. Orang telah dipastikan dia tidak dibantu Allah adalah nyata kegagalannya dari awal lagi, maka wajar dia dihalang dari diberikan jawatan berkenaan.

Namun ini bukanlah bererti mustahil untuk dia melakukan kebaikan dan keadilan pada orang dibawahnya. Ada pemimpin yang kafir tetapi dapat melakukan kebaikan dan keadilan. Ini adalah hasil daripada usaha dan kesungguhannya bersama dengan keizanan Allah. Namun pertolongan Allah dengan keberkatan dan rahmatNya tidak akan diperolehi jika seseorang tamakkan kuasa.

Di sudut yang lain, mereka yang menuntut jawatan sebenarnya telah meletak keistimewaan atau kelayakan pada sendiri. Ini adalah lambang keegoan, sedangkan Allah telah berfirman di dalam Surah an-Najm ayat 32

فَلا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ

Maksudnya:"Jangan kamu menyatakan diri kamu suci"
Kata `Abd ar-Rahman Ibn Nasir al-Sa'di dalam tafsirnya: "Ayat bermaksud jangan kamu memberitahu manusia mengenai kesucian (kebaikan) jiwamu kerana mencari pujian di sisi mereka". *5

Meminta jawatan adalah suatu bentuk menuntut diiktiraf kelebihan diri di hadapan orang lain. Sedangkan Islam mahu supaya jawatan dipikul oleh mereka yang dibaluti dirinya dengan tanggungjawab, kesedaran dan penuh rendah diri di hadapan Allah dan memahami benar-benar ianya merupakan amanah dan beban bukan tempat kemegahan.

Kata Muhammad `Abd al-Qadir Abu Faris dalam An-Nizam as-Siyasi fi al-Islam: "Secara umumnya meminta menjadi pemimpin adalah dilarang di dalam Islam. Dalil-dalil dari al-Quran dan as-Sunnah yang ada mengukuh hukum haram atau sekurang-kurangnya makruhnya perkara tersebut . *6

Oleh itu, para pemimpin yang beriman hendaklah memastikan mereka yang dilantik menguasai apa-apa urusan orang Islam terdiri dari kalangan yang dibantu perlaksanaan kerjanya oleh Allah ke arah kebaikan dunia dan akhirat. Hendaklah dielakkan dari melantik mereka yang tidak dibantu Allah. Antara cara yang diajar oleh Nabi s.a.w. untuk mengenal individu yang tidak dibantu oleh Allah ialah orang meminta jawatan.

Kata al-Imam al-Syaukani (meninggal 1255H) الشوكاني : “Kesimpulan, apabila seseorang yang meminta jawatan tidak mendapat pertolongan Allah, maka apa-apa jawatan yang dipegangnya akan menjatuhkannya dalam kesusahan dan kerugian dunia dan akhirat, maka tidak dihalalkan melantik orang seperti itu”. *7

Namun begitu jika ada yang ingin memperolehi jawatan di atas dasar mengelakkan umat dari dikuasai golongan yang zalim dan melampaui batasan Allah. Para ulama Islam seperti al-Imam al-Mawardi (meninggal 450H) الماوردي di dalam Al-Ahkam as-Sultaniyyah menyebut bahawa adakalanya meminta jawatan memperolehi pahala sekiranya tujuan untuk menegakkan kebenaran dan dibimbangi orang yang tidak layak mendapat tempat tersebut *8

Pendapat al-Mawardi ini bersesuaian dengan sabda Nabi s.a.w. di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud :

مَنْ طَلَبَ قَضَاءَ الْمُسْلِمِينَ حَتَّى يَنَاَلهُ فَغَلَبَ عَدْلُهُ جَوْرَهُ فَلَهُ الْجَنَّة ُ

Maksudnya: Sesiapa yang meminta jawatan qadhi muslimin sehingga dia memperolehinya kemudian keadilannya mengatasi kezalimannya maka baginya syurga. *9

Ertinya, asal di dalam sistem siyasah Islam individu dilarang merebut jawatan kepimpinan umat atau memintanya, namun perkara tersebut dikecuali disebabkan darurat atau tuntutan yang amat sangat daripada sesuatu keadaan di mana jika golongan yang soleh tidak mengambilnya maka ianya akan jatuh ke tangan golongan mungkar. Justeru itu, tuntutan baru muncul membenarkan jawatan kepimpinan direbut atau diminta. Ini mendorong Nabi Yusuf a.s. meminta jawatan dalam kerajaan Mesir, katany:

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الْأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ(55)وَكَذَلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الأَرْضِ يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَاءُ نُصِيبُ بِرَحْمَتِنَا مَنْ نَشَاءُ وَلا نُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ(56)

Maksudnya:
Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. *10

Kata al-Qurtubi: “Sesungguhnya Yusuf a.s. hanya meminta kuasa setelah dia mengetahui bahawa tiada sesiapa yang setanding dengannya, yang dapat melaksanakan keadilan, islah dan menyampaikan hak-hak fakir miskin. Dia melihat yang demikian itu adalah fardu `ain bagi dirinya, kerana tiada siapa lagi selain dia. Demikian juga hukumnya pada hari ini.Sekiranya seseorang insan tahu mengenai dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan hisbah, sementara tiada seseorang pun yang sesuai dan setanding dengannya maka jawatan itu fardu `ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifatnya yang melayakkan memperolehi jawatan tersebut iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain”

----------

1* - Riwayat al-Bukhari dan Muslim

2* - Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 15/ 22, . Dar al-Fikr, Beirut

3* - Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Ibid, jilid 15, m.s. 19.

4* - Taisir al-Karim ar-Rahman, m.s. 763, Cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut.

5* - An-Nizam as-Siyasi fi al-Islam, m.s. 190. Ctk. Dar al-Furqan, Jordan

6* - Al-Syaukani, Nail al-Autar, 9/159, cetakan Dar al-Jail, Beirut.

7* - Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, m.s. 95, ctk. Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut

8* - Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan.

9* - Surah Yusuf 55-56

10* - Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan.
Surah Yusuf 55-56

11* - Al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 9/216, cetakan Dar al-Fikr, Beirut. 


0 ulasan :

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails